“Saya memerhatikan si dia dari dalam kereta selama 15 minit, barulah ada kekuatan nak turun dan bertemu empat mata dengannya.”

Itulah cerita Nurkhairiyah binti Noorhisham, 30, mengenai pertemuan kali pertama dengan suaminya, Asmawi bin Ismail, 35, sebelum mereka berkahwin pada 2013 dulu. Sebelum berjumpa, mereka sudah berkenalan melalui telefon selama sebulan. Keputusan bertemu diambil setelah masing-masing cuba untuk mengorak hubungan ke arah yang lebih serius.

Menurut Nurkhairiyah yang lebih mesra dipanggil Kay, dia memang sudah berniat untuk meninggalkan zaman bujang dalam masa terdekat. Walaupun masih belum mempunyai calon jodoh, namun dia percaya jika niat sudah ada pasti urusan itu dipermudahkan oleh-NYA.

Apabila berpeluang mengerjakan ibadat haji, Kay tidak lupa untuk berdoa mengenai jodoh buat diri sendiri. Apatah lagi peluang mengerjakan haji itu dia pergi bersama kedua-dua orang tua. Sudah pastilah peluang ini digunakan sepenuhnya untuk beribadat dan memohon doa supaya dimakbulkan ALLAH.

Jodoh ialah rahsia ALLAH. Bermula daripada bertukar nombor telefon dengan kawan kepada teman serumah, siapa sangka dari situlah bermulanya langkah pertama untuk bertemu dengan bakal pasangan.

“Kawan saya yang bagi nombor telefon si dia pada saya. Seminggu tersimpan barulah saya hantar mesej. Mulai dari situ kami berkenalan. Saya memang sudah ada niat untuk berkahwin. Jadi tidak mahu berkawan lama-lama. Apabila kenal dengan bakal suami, saya terus bawa dia jumpa dengan orang tua,” ujar Kay.

Tidak menunggu lama selepas masing-masing ada niat serupa untuk berkahwin, mereka akhirnya bernikah pada 20 September 2013.

Selepas berkahwin, Kay membuat keputusan berhenti kerja untuk memberikan tumpuan kepada bisnes. Dia memang minat bisnes mengikut jejak langkah ibu bapanya. Niat Kay disokong oleh ibu bapanya apatah lagi dia juga wanita yang selalu berdikari walaupun bergelar anak tunggal.

“Suami pun sokong saya buat bisnes. Dia lebih suka saya melakukan sesuatu daripada jadi surirumah yang tak berbuat apa-apa. Sofea Clozets menjual pakaian berasaskan kain sari dan saya fokus pada jualan online dan buka booth. Saya juga menjadi ejen barangan wanita dan bayi iaitu Elsee,” ceritanya.

SIBUK TANPA GANGGU KEHARMONIAN RUMAHTANGGA

Apabila bergiat dalam bisnes, kesibukan itu tidak dapat dihalang. Namun bagi Kay, rumahtangga tetap keutamaan baginya. Apatah lagi suami telah memberikan beberapa syarat untuknya supaya keutamaan tidak tersasar.

“Suami menasihatkan saya supaya inform kepada dia ke mana-mana saya nak pergi. Kena maklumkan kepada dia dan apa tujuannya. Selain itu, saya dan suami selalu ada sesi bercerita sebelum tidur. Kami kongsi segala benda yang berlaku pada hari itu. Bagi saya sesi ini menguatkan hubungan suami isteri,” katanya.

TIP JADI ISTERI & WANITA BISNES HEBAT CARA KAY

1) SENTIASA MINTA REDA SUAMI
Jangan membelakangkan suami dalam apa-apa juga yang hendak dilakukan. Minta suami reda dan doakan kejayaan. Minta pendapat suami sebelum kita buat apa sahaja keputusan.

2) MINTA DOA ORANG TUA
Selain suami, ibu bapa ialah orang yang sangat penting dalam hidup. Minta doa daripada mereka kerana doa orang tua untuk anak selalunya mudah dimakbulkan oleh ALLAH.

3) DO THE BEST, ALLAH DO THE REST
Bersikap positif ialah antara perkara yang utama dalam hidup. Apabila kita positif, mudah untuk aura hebat itu masuk ke dalam badan. Kita buat yang terbaik dan ALLAH akan mempermudahkan segalanya.

Komen anda