Pada Aidilfitri, ramai yang mulai bercadang hendak berkunjung ke rumah bakal pasangan. Tujuannya ialah untuk merapatkan silaturahim. Ingin lebih mengenali bakal keluarga mentua. Pun begitu, ada perkara penting yang perlu anda ketahui apabila berkunjung ke rumah bakal pasangan atau tunang anda.

MASIH BUKAN MAHRAM
Anda dan tunang belum ada ikatan sah. Bertunang bukannya menghalalkan hubungan. Bertunang ialah ikatan yang dijalinkan sebagai perjanjian untuk berkahwin. Dan si wanita itu haram dipinang oleh orang lain. Pun begitu anda masih bukan mahram. Jadi, kalau nak berjumpa, bertentang mata, kenalah berpada-pada.

BAWA KELUARGA
Jika ingin menziarahi keluarga bakal mentua, bawalah keluarga anda juga. Jangan datang sendirian kerana kurang manis dipandang. Dengan adanya keluarga berziarah sekali, maka hubungan lebih erat dan tujuan kehadiran anda untuk merapatkan silaturahim tiu lebih tercapai.

JANGAN BERMALAM
Walau jauh pun rumah tunang anda itu, elakkanlah bermalam di kediamannya. Jika perlu bermalam, sewalah hotel untuk anda dan keluarga anda. Bermalam di kediaman tunang boleh mendatangkan fitnah. Lebih baik anda jaga nama baik keluarga anda dan keluarga tunang.

TUTUP AURAT
Tunang anda masih bukan mahram. Jadi jika bertemu ketika hari raya, pastikan anda menutup aurat dengan sempurna. Jangan pula anggap mentang-mentang jumpa di rumah, maka boleh buka aurat. Itu salah.

JANGAN TERLEBIH MESRA
Memang seronok dapat berjumpa tunang pada Aidilfitri. Namun anda kena ingat jangan pula terlebih mesra dengan tunang. Acah-acah macam pasangan yang sudah berkahwin pula. Jangan duduk rapat-rapat. Jaga adab. Bergambar swafoto dengan tunang pun elakkanlah. Jaga nama baik keluarga.

 

Komen anda