Jodoh diaturkan oleh Yang Maha Kuasa. Jadi ada yang bertemu jodoh dengan orang yang jauh dari kampung halaman. Orang kata, seorang di selatan, seorang di utara. Kita tak tahu siapa jodoh kita, kan?

Selain isu nak balik kampung siapa timbul pada musim perayaan, begitu jugalah ketika musim mengundi.

Apatah lagi jika masing-masing tidak menukar pusat mengundi mengikut alamat semasa. Sebaliknya memilih untuk berbakti kepada kampung halaman masing-masing. Sanggup bersusah payah demi memastikan kampung tetap dalam keadaan terbaik oleh pemimpin yang dipilih.

Jom ikuti kisah Muna ‘Izzah Md Isa mengenai kisahnya pulang mengundi bersama tiga anak tanpa suami di sisi.

Cabaran paling besar balik kampung untuk mengundi tanpa suami ialah hendak handle anak seramai tiga orang. Kalau seorang gagahlah juga. Ini tiga orang. Boleh menangis dibuatnya tapi kena tabahkan hati.

Nak balik mengundi asing-asing, memang saya dan suami dah bincang pasal ni. Suami balik naik bas manakala saya balik naik kereta. Jadi lebih senang kalau saya yang bawa semua anak.

Lagipun anak-anak ni memang bertuahlah kalau nak berpisah dengan umi dia. Kita dalam bilik air pun diorang dah rindu! Alhamdulillah adik saya ikut balik sekali, senang sikitlah
ada yang melayan anak dalam kereta nanti.

Tahun ini kali kedua kami mengundi sebagai suami isteri. Suami mengundi di Kedah manakala saya di Melaka. Kali pertama dulu kami memang tinggal berasingan. Suami mengajar di Lenggong. Saya pula di Melaka sebab belum posting. Anak pun baru seorang. Jadi tak rasa masalah sangat.

Tahun ini, kami semangat nak turun mengundi walaupun kena berpisah demi tanggungjawab sebagai rakyat. Persediaan kena buat awal-awal.

MOHON RESTU

Seperti biasa sebelum pergi ke mana-mana, saya akan mohon suami doakan kesejahteraan kami sekeluarga. Salam tangan suami dan mohon maaf daripadanya. Ini penting kerana sebagai isteri, kita kena mohon restu daripada suami.

Suami pula, sebelum kami pulang ke kampung, beliau akan pastikan kenderaan dalam keadaan baik. Sebelum ni pun kalau suami perlu tinggalkan kami atas urusan kerja, beliau akan pastikan kereta dalam keadaan baik, minyak penuh dan car seat anak dipasang dengan baik.

Bagi saya, kesepakatan sebagai suami isteri sangat penting walau dalam apa jua keadaan pun. Apatah lagi dalam situasi yang memerlukan perancangan yang teliti misalnya membabitkan perjalanan jauh, masa dan anak-anak. Kesepakatan perlu untuk elakkan berlaku hal yang tak diingini.

Nasihat saya untuk isteri yang pulang mengundi sendirian tanpa suami, sebelum balik pastikan sudah mohon restu suami, minta ampun segala salah silap. Niatkan perjalanan ini demi tunaikan tanggungjawab kepada negara, insya-Allah dipermudahkan. Selamat mengundi!

Komen anda