Pada hari ini, kaum wanita ramai yang berpendidikan tinggi. Sekali gus mereka mampu menjawat jawatan tinggi dan meraih pendapatan besar. Jika tidak berpelajaran tinggi pun, ramai wanita bijak keluar dari zon selesa dengan membuat bisnes online. Sekali gus mereka mampu mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Justeru, dalam bab mencari pasangan hidup, ada wanita yang perlu berdepan dengan situasi dia mempunyai pendapatan lebih besar berbanding suami. Hal ini tidak sepatutnya jadi isu besar selepas berkahwin jika wanita itu sendiri sudah tahu akan kedudukan kewangan bakal suaminya. Maka tidak akan timbul isu isteri kurang hormat pada suami atau asyik mengungkit dalam rumahtangga.

Isteri yang berpendapat besar dinasihatkan supaya tidak berasa besar kepala lantas menyebabkan suami tertekan dengan keadaan ekonomi dirinya. Isteri perlu sedar bahawa walau betapa besar pendapatannya melebihi suami, dia tetap perlu taat kepada suami. Suami tetap ketua dalam rumahtangga.

Bagi mengelak hal-hal yang negatif berlaku, sila lakukan perkara di bawah:

1) SUAMI PERLU MAKLUMKAN JUMLAH PENDAPATAN
Isteri kena tahu berapa pendapatan suami setiap bulan. Hal ini supaya isteri tidak minta lebih-lebih. kalau isteri tidak tahu, dia akan sangka gaji suami banyak tetapi suami kedekut untuk membelanjakan wangnya.

2) KOMUNIKASI DAN KESEPAKATAN
Suami isteri perlu atur kewangan secara fleksibel iaitu daripada hasil kesepakatan bersama. Kesejahteraan kewangan suami dan isteri bermula dengan komunikasi. Banyak krisis yang berlaku dalam rumah tangga berpunca dari komunikasi mengenai topik kewangan yang tidak jelas.

3) RANCANG KEWANGAN BERSAMA
Suami isteri perlu rancang perbelanjaan setiap bulan. Rancang kewangan supaya masing-masing jelas dengan keperluan rumahtangga. Rancangan itu haruslah praktikal dan boleh dilaksanakan.

Tulis tindakan yang akan anda berdua ambil untuk melaksanakan rancangan tersebut. Contohnya suami bayar bil elektrik dan air. Manakala isteri membayar perbelanjaan dapur. Nilai semula rancangan tersebut sekurang-kurangnya setahun sekali.

Dinasihatkan supaya suami tidak mengambil kesempatan apabila mempunyai isteri yang berpendapatan besar. Suami perlu berusaha untuk membantu isteri menyara keluarga. Jangan anggap tanggungjawab anda lepas begitu sahaja. Suami tetap perlu beri nafkah kepada isteri. Hal itu adalah WAJIB.

Komen anda