Demi memupuk hubungan rumahtangga bahagia, masing-masing perlu memahami pasangan sendiri. Kenali sikapnya dan cuba fahami apa yang dia suka dan tidak suka.

1) PENTINGKAN DIRI SENDIRI
Isteri yang pentingkan diri sendiri selalunya tidak ambil endah mengenai keperluan suami. Dia jarang menyediakan keperluan suami misalnya makanan, pakaian dan mengemas rumah. Isteri begini sibuk dengan keperluan diri sendiri. Dia hanya pentingkan perutnya, pakaiannya dan menonton rancangan kegemaran. Dia tidak bermanja-manja dengan suami kerana bagi dirinya itu tidak perlu. Dia akan keluar rumah jika dia suka tanpa minta izin suaminya. Mungkin belum boleh move on hidup bujang lagi. Jika ada anak pula, tidak mustahil anak akan terabai dan kurang kasih sayang. Dia juga tidak ambil peduli mengenai keluarga mentua.

2) TERLALU DOMINAN
Pada hari ini memang ramai wanita yang sangat berdikari. Ada duit sendiri sebab kerja hingga ada kala pendapatannya lebih banyak daripada suami. Isteri juga boleh memandu hingga boleh pergi ke mana-mana tanpa perlu suami di sisi. Hal ini membuatkan isteri jadi terlalu dominan kerana mampu berdikari. Akhirnya suami terasa tidak diperlukan. Suami terasa dirinya hilang ‘taring’ kerana isteri tidak rasa memerlukan seorang suami untuk buat apa sahaja.

3) SUKA CAKAP BOHONG
Suami yang mendapati dirinya dibohongi pasti akan marah. Apalagi jika yang berbohong itu ialah isterinya. Tidak kiralah apa alasannya, isteri perlu jujur. Jika isteri selalu berbohong, lama-lama suami malas nak layan.

4) BERCAKAP KASAR
Wanita yang suka bercakap kasar amat tidak disukai oleh lelaki. Jika anda mudah menuturkan kata-kata yang buruk, lama kelamaan suami menyampah nak layan anda bercakap. Tidak habis-habis mengeluarkan bahasa kesat dan maki-hamun. Ada kala wanita suka maki-hamun ketika memandu. Jadi, elakkanlah sikap seperti ini.

5) SUKA SUSAHKAN KEADAAN
Isteri dianggap suka menyusahkan keadaan apabila selalu ingkar arahan suami. Apa sahaja yang suami suruh, akan dibalas dengan endah tak endah. Dia kerap cari salah suami sehingga suaminya malas hendak melayan supaya keadaan tidak bertambah tegang.

6) TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Isteri dikata tidak bertanggungjawab apabila terlalu bergantung kepada suami sehingga langsung tidak berusaha untuk menjalankan tanggungjawabnya. Suami yang uruskan anak, suami yang uruskan rumah dan hal-ehwal kebajikan seisi rumah. Isteri sebegini mudah lepas tangan kerana menganggap suami adalah ketua keluarga. Memang suami ketua keluarga namun isteri perlu tahu tanggungjawabnya. Kalau sampai secawan kopi pun nak bersuruh baru nak buat, isteri yang baik ke tu?

7) KERAS KEPALA
Isteri begini langsung tidak mahu dengar cakap suami. Suami kata A. Dia kata B. Walau sudah ditegah, tetap dia buat. Isteri begini langsung tidak menganggap reda seorang suami itu penting. Misalnya, suami mampu menanggung keluarga lantas minta isteri berhenti kerja supaya fokus dengan keluarga iaitu anak-anak. Namun dia tetap mahu bekerja dan menghantar anak ke taska. Anak selalu demam kerana tidak boleh berenggang dengan ibunya. Suami tentunya akan marah.

8) MEMBOSANKAN
Isteri yang membosankan memang malas nak dilayan oleh suami. Isteri sebegini sebenarnya telah set dalam kepala bahawa selepas berkahwin dia akan menumpukan sepenuhnya kepada keluarga. Ya, itu memang perlu dilakukan. Namun apa salahnya jadi wanita yang tidak membosankan.

Contohnya, sebelum berkahwin isteri ialah seorang yang suka sukan lasak berbasikal. Disebabkan sukan inilah anda berdua bertemu dan bercinta lantas berkahwin. Namun selepas berkahwin, isteri meninggalkan terus hobi itu. Akhirnya suami kehilangan seorang rakan sukan lasak. Ketahuilah bahawa suami tidak mahu isteri menjadi orang lain selepas berkahwin. Kekallah sebagai anda yang dahulu iaitu wanita yang dicintainya sebelum berkahwin.

Komen anda