Hati dan perasaan tidak boleh menipu si empunya diri. Kita tidak pernah minta perasaan menyukai seseorang itu wujud. Ianya hadir tanpa dipinta pun.

Ada beberapa tanda yang membuktikan bahawa anda sedang dilamun cinta. Melalui perbuatan atau perasaan, boleh kita tentukan sama ada kita bercinta atau tidak. Namun walau bagaimanapun perasaannya, janganlah bertepuk sebelah tangan. Biarlah salam cinta itu disambut supaya tiada yang kecewa kemudian hari.

1) ASYIK INGAT KEPADA DI DIA

Tak best sungguh situasi ini. Buat kerja, ingat dia. Duduk-duduk, ingat dia. Nak lelapkan mata pun, teringat si dia. Maklumlah, manusia diciptakan dengan adanya fikiran dan minda. Justeru apa-apa sahaja yang kerap bermain di fikiran akan menjadikan kita selalu teringat. Begitu jugalah apabila kita mulai menyukai seseorang. Sudah tentu kita akan selalu teringat kepadanya.

2) SERONOK BERBUAL DENGAN SI DIA

Perasaan suka akan membuatkan kita rasa selesa apabila berbual dengan seseorang. Emosi suka itu menjadikan kita lebih mudah menerima. Andai anda mahu tahu sama ada anda mulai cinta pada seseorang ialah apabila anda selesa berbual dengan seseorang itu walaupun si dia bercakap tentang sesuatu perkara yang anda tidak minat.

3) TERSELIT NAMA SI DIA DALAM DOA

Cinta yang suci membawa seseorang itu ke arah yang lebih baik. Justeru dalam solat pastinya nama si dia akan turut meniti di bibir sambil kita mendoakan dia supaya mendapat kebaikan.

4) MELETAKKAN DIRI SI DIA DALAM GAMBARAN MASA DEPAN

Cinta bukan sekadar untuk bersuka-suka. Cinta kerana ALLAH sudah pastinya mahu diakhiri dengan pernikahan. Apabila anda jatuh cinta, anda akan mulai memikirkan masa depan dengannya. Ingin menjadi pasangannya dan membina kehidupan sebagai suami isteri.

5) RASA RINDU KALAU LAMA TIDAK BERJUMPA

Rindu membuktikan bahawa kita memang sudah jatuh cinta. Lama tidak nampak atau tidak berhubungan melalui telefon boleh membangkit perasaan nan satu ini. Kalau sudah mulai rindu, memang sah anda sedang jatuh cinta. Lebih baik disegerakan ke langkah seterusnya supaya perasaan ini diteruskan ke alam perkahwinan. Bercinta selepas nikah lebih banyak manfaatnya.

6) MERAJUK KALAU ADA YANG TAK KENA

Kalau ada rasa suka atau cinta dalam hati, pasti hati mudah tergores jika ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Anda mulai merajuk pada si dia jika dia lama tidak menghantar mesej misalnya. Kalau dengan orang lain, takkan anda nak berbuat macam itu, kan? Inilah namanya cinta.

7) MULAI AMBIL BERAT HAL-HAL KECIL

Anda mulai ambil berat hal kecil misalnya tarikh lahir si dia, jumlah adik-beradiknya, asal mana, siapa nama ibunya, kerja apa, apa warna kegemarannya, apa hobinya. Kalau boleh segala benda mengenai diri si dia ingin anda ketahui.

Komen anda