Jika kita mahu lihat sama ada seseorang itu menyayangi kita atau tidak ialah dengan sikap ambil berat. Hal ini menunjukkan bahawa si dia mementingkan keberadaan kita dalam hidupnya. Berbeza dengan orang yang langsung tidak kisah akan kewujudan kita. Ada atau tidak, sama sahaja.

Pun begitu, usahlah terlalu bergantung dengan kekasih yang sikapnya suka ambil berat. Ingatlah bahawa anda belum ada ikatan yang halal di sisi Allah. Ambil berat itu bagus namun biarlah berpada-pada. Jom kenali si dia yang ambil berat tentang diri kita.

1. TIDAK LUPA MESEJ DI TELEFON BIMBIT

Setiap pagi telefon bimbit anda akan bergetar menandakan ada mesej daripada si dia yang mengucapkan selamat pagi. Disertai dengan ucapan doa untuk kesejahteraan anda. Hal ini menunjukkan betapa setiap pagi, dia ingat kepada anda terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.

Pasti apabila tiada mesej daripadanya yang mengucapkan selamat pagi pada hari tertentu, anda akan tertunggu-tunggu mesej tersebut. Sikap ambil berat ini walaupun nampak ringkas, namun sebenarnya membawa erti besar dalam hubungan.

2. SERING UPDATE AKTIVITINYA

Si dia selalu menghantar mesej di telefon bimbit anda mengenai lokasi dirinya. Walaupun tidak diminta, namun dia tetap berbuat demikian supaya anda tahu kedudukan dirinya. Mungkin dia mahu menunjukkan kejujurannya kepada anda.

Hal ini membuatkan hati anda tenang dan tidak ragu-ragu dengan dirinya. Kekasih yang curang selalunya tidak akan berbuat sedemikian kerana bimbang diketahui mengenai aktivitinya dengan orang lain.

3. PEKA TARIKH PENTING

Orang selalu kata, kaum wanita lebih peka dengan tarikh penting. Namun, jika ada lelaki yang ingat tarikh penting, itu memang betul-betul beruntung kerana tidak ramai lelaki yang peka dengan hal sedemikian. Hal yang nampak remeh namun jika si dia lupa, pasti kita akan berkecil hati. Kita tidak harapkan hadiah yang mewah. Sekadar ucapan sudah memadai. Namun jika si dia ambil berat, sudah tentu si dia ingat tarikh lahir kita.

Lebih istimewa jika ada hadiah kejutan yang dihantar ke pejabat. Oh, itu lebih menyeronokkan! Orang kata waktu bercinta semuanya indah. Ya, memang indah jika mendapat kekasih yang ambil berat dan menyenangkan hati.

4. SENTIASA BAGI NASIHAT

Si dia yang ambil berat tentu tidak lupa menasihatkan anda. Misalnya anda masih belum sempurna menutup aurat. Walaupun belum di bawah tanggungjawabnya lagi, dia sudah mula menasihatkan anda supaya menutup aurat dengan lebih sempurna. Ini kerana, apabila berkahwin nanti, anda akan berada di bawah tanggungjawabnya juga.

Terimalah nasihat itu dengan baik kerana ianya membawa manfaat kepada diri anda. Jangan pula nasihat kekasih anda ikut, tetapi nasihat ibu bapa anda buat endah tak indah. Biarlah seimbang.

5.TIADA RAHSIA ANTARA KITA

Lelaki yang ambil berat terhadap kekasihnya, selalunya telus dan tidak suka berahsia dengan kekasihnya. Dia akan cerita perkara penting yang anda perlu tahu. Tiada yang akan disorokkan. Ini kerana dia tidak mahu anda rasa terpinggir dan tidak tahu apa-apa mengenai dirinya.

Ketelusan inilah yang menunjukkan betapa dia ambil berat mengenai diri anda termasuklah emosi anda. Tanpa ketelusan, tidak akan wujud keserasian dan tentu sukar untuk anda mengikat hubungan kepada yang lebih serius.

6. BIJAK PIKAT HATI KELUARGA

Si dia ambil berat mengenai anda apabila dia kerap hubungi keluarga anda. Hal ini turut menunjukkan bahawa si dia mengambil berat terhadap keluarga anda. Dia ambil berat mengenai ibu bapa anda dan adik-beradik anda.

Hal ini menjelaskan bahawa si dia ambil berat terhadap hubungan antara dia dengan anda. Justeru, hargailah sikap ambil berat ini namun tetaplah berhati-hati. Jangan terlalu mempercayai kebaikan seseorang yang belum tentu menjadi suami anda. Segalanya mungkin berlaku. Dapatkan nasihat kedua-dua ibu bapa anda mengenai calon suami pilihan anda itu.

Komen anda