Melangkahkan kaki ke alam perkahwinan bermaksud anda bakal berdepan dengan satu dunia yang berbeza dengan kehidupan sekarang. Jika dulu anda sendiri, kini anda berdua. Jika dulu keputusan boleh anda buat tanpa berbincang dengan sesiapa, kini anda perlu berbincang dengan pasangan.

Anda perlu letakkan fokus utama terhadap tanggungjawab. Itu ialah perkara paling utama. Hati perlu penuh perasaan cinta dan kasih sayang kepada pasangan. Jangan hanya seketika sebaliknya semua perlu dicambahkan terutama perasaan cinta terhadap pasangan.

Bagi anda yang bakal bergelar pengantin baru, sila baca tip di bawah supaya jangan selepas bertahun berumah tangga, yang dulu cinta kini benci. Kalau dulu sayang, kini tidak lagi. Kalau dulu riang, kini duka.

1) JANGAN MUDAH TERGODA DENGAN PUJUK RAYU ORANG LAIN TERUTAMA BEKAS KEKASIH

Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat mengelak perasaan-perasaan negatif daripada timbul dalam diri. Justeru ada kemungkinan kita rasa bosan dengan keadaan rumahtangga yang hambar.

Apabila timbul perasaan jemu itu, mulalah terjadi perkara buruk dalam hubungan suami isteri. Mulalah teringat akan kekasih lama. Tatkala usia perkahwinan semakin meningkat, kita mengharapkan hubungan yang berpanjangan sehingga ke akhir hayat. Tidak elok memutuskan hubungan suami isteri kerana perceraian adalah perkara yang tidak disukai oleh Allah walaupun dibenarkan dalam Islam.

2) KOMUNIKASI DUA HALA SECARA SIHAT
Komunikasi adalah perkara yang perlu dititikberatkan dalam hubungan suami isteri. Jaga tutur kata, jaga nada suara. Jangan bercakap asyik nak menengking sahaja. Jangan bercakap kasar dengan pasangan. Walau marah macam mana pun, silalah gunakan bahasa terbaik. Paling utama ialah jangan hilang rasa hormat terhadap pasangan. Jadikan waktu malam sebelum tidur sebagai sesi terapi. Apa yang kurang puas hati, bincanglah dengan baik. Kegagalan anda untuk berkomunikasi dengan baik boleh mengancam hubungan yang kurang memberangsangkan.

3) MASA BERKUALITI UNTUK ANDA BERDUA
Masa seorang surirumah selalunya banyak dihabiskan dengan melayan anak, cucu dan teman. Masa untuk pasangan juga menjadi terhad. Jika anda belum pencen, masa anda yang 24 jam sehari itu perlu diperuntukkan untuk kerja pula. Masa untuk pasangan menjadi lebih terhad.

Justeru, anda perlu bijak mencuri masa untuk diluangkan bersama. Misalnya sama-sama bersarapan di luar sebelum masuk pejabat, makan tengah hari atau makan malam di luar. Pastikan hal itu hanya anda dan pasangan sahaja.

Anda tidak perlu berbulan madu kali kedua untuk santai berdua-duaan. Cukup sekadar masa berkualiti walaupun hanya satu jam. Jika anda sudah pencen atau suri rumah, lebih mudah untuk dating berdua. Carilah restoran yang anda suka dan makan bersama.

Sesekali boleh juga masak hidangan istimewa dan makan berdua di rumah kala anak-anak, menantu dan cucu tiada di rumah. Dalam erti kata mudah, masa berdua-duaan inilah waktu terbaik untuk membelai cinta yang sekian lama dinikmati. Hal ini boleh membuang jemu dalam jiwa anda.

4) JANGAN MINTA LEBIH DARIPADA KEMAMPUAN PASANGAN

Ada pasangan yang mengatakan dia jemu dengan pasangannya kerana pasangan tidak menjadi orang yang diharapkan. Misalnya, dia mahu pasangan menjadi insan romantik tetapi hakikatnya pasangan tidak begitu.

Akhirnya dia letih menunggu pasangan menjadi sedemikian lalu akhirnya pasrah bahawa pasangannya tidak akan berubah sampai bila-bila. Hubungan pun menjadi semakin teruk dan dia tidak lagi berperasaan sayang terhadap pasangan.

Anda seharusnya menerima pasangan seadanya. Jangan harap dia berubah menjadi sebagai mana yang anda mahukan. Pun begitu, anda boleh mengubah pasangan secara halus misalnya anda jadilah insan yang romantik supaya pasangan juga tahu bahawa anda berjiwa romantik dan sekali gus dia akan cuba menjadi romantik juga.

Syaratnya, jangan terlalu berharap melebihi apa yang pasangan anda boleh lakukan. Anda akan kecewa apabila melihat perubahan yang terlalu kecil. Anda perlu sedar bahawa pasangan anda ada kekurangan. Begitu juga anda. Anda juga ada kekurangan. Justeru jadilah pelengkap kepada pasangan masing-masing.

5) BERKASIH SAYANG SECARA KREATIF

Bukan sahaja membuat seni tangan sahaja anda perlu kreatif tetapi dalam hal-ehwal rumahtangga juga kita perlu kreatif. Apabila anda kreatif maka hubungan anda menjadi lebih romantik dan menggembirakan.

Apa yang boleh anda lakukan untuk kreatif mencipta kasih sayang? Misalnya, anda dan pasangan sedang duduk menonton televisyen. Walaupun perut sudah kenyang, namun apalah salahnya jika anda sekadar menggoreng keropok dan membancuh secawan teh untuk pasangan. Aktiviti menonton televisyen akan menjadi lebih menyeronokkan.

Jika tidak mahu makan keropok, anda boleh sekadar duduk bersebelahan dan mengurut kaki atau tangan pasangan. Pasangan anda adalah manusia biasa yang memang suka dibelai. Sentuhan, urut-mengurut akan menjadi hubungan lebih hangat.

6) JANGAN BANDINGKAN DIA DENGAN ORANG LAIN

Hal ini amat penting kerana membandingkan pasangan dengan pasangan orang lain boleh menyebabkan anda tidak bersyukur dengan kurniaan Allah. Jangan perkecil kemampuan suami terutama dari segi kewangan, kemampuan ekonomi dan kemahiran yang dia miliki.
Ini secara langsung merendah-rendahkan suami anda padahal seorang isteri sepatutnya menjaga maruah suaminya. Memandang rendah suami boleh mencetuskan emosi yang tidak terluah lalu anda mungkin tidak akan hormat lagi dengannya.

Jangan rosakkan hubungan rumahtangga anda. Anda perlu bijak mengawal emosi, perasaan dan tingkah laku supaya hubungan anda diselubungi cinta bak pengantin baru.

Komen anda