Apabila seseorang individu itu mahu berkahwin seawal usia 20-an, usahlah terus dicop sebagai gatal. Malah ada yang mempertikaikan kehendak anak muda yang mahu bernikah pada usia sebegitu. Hajat mereka ditegah dengan alasan usia masih muda justeru tidak sesuai untuk mereka melangkah ke alam perkahwinan.

Anak muda dianggap masih belum mampu berdikari, masih tidak layak bergelar isteri atau suami dan tidak berkelayakan untuk menyara seisi keluarga. Mereka dimomokkan dengan kesukaran menjalani hidup berumahtangga dan dinasihatkan supaya membujang dahulu sebelum bersedia untuk memikul tanggungjawab.

Tidak dinafikan bahawa tanggungjawab sebagai suami isteri memang berat. Pun begitu, anak muda tidak seharusnya ditegah daripada mendirikan rumahtangga sekiranya mereka sudah ada keinginan untuk bernikah. Lebih baik dipercepatkan dan dipermudahkan.

Perkara paling perlu ditekankan ialah mempersiapkan anak-anak kita dengan didikan agama, jati diri yang kukuh dan mengenal pasti tanggungjawab sebagai manusia sejak dari mereka kecil. Hal ini akan menjadikan anak muda kita lebih bersedia dan boleh memikul tanggungjawab itu apabila mereka dewasa. Hal ini akan memudahkan mereka apabila mereka mahu menjadi suami atau isteri pada usia muda.

Usah sekali-kali menganggap anak muda mahu bernikah awal kerana gatal. Janganlah menjuruskan pernikahan hanyalah sebagai satu urusan menghalalkan hubungan intim sahaja. Jika inilah yang berada di kotak pemikiran kita, maknanya institusi perkahwinan sebenarnya tidak berada pada landasan yang betul.

Tunjukkan kepada golongan muda bahawa pernikahan itu sebagai sesuatu yang indah. Perkahwinan itu mampu menjadikan seseorang manusia daripada kurang bertanggungjawab kepada seseorang yang berani untuk memikul tanggungjawab. Malah perkahwinan itu sebagai lubuk pahala kerana apa sahaja yang dilakukan kepada pasangan boleh menjadi pahala. Semudah ABC. Hanya senyum atau memandang wajah pasangan sahaja sudah boleh mendatangkan pahala kepada anda.

5 TIP PERSEDIAAN KAHWIN MUDA

1) Jangan tinggal solat kerana solat mendidik anda menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat. Orang yang mendirikan solat dengan kusyuk lebih mudah terbuka hati untuk memikul tanggungjawab yang berat.

2) Bijak urus tanggungjawab kepada diri sendiri dan keluarga. Utamakan keluarga dalam apa-apa juga urusan. Ini menunjukkan bahawa anda mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

3) Hormati orang tua. Tindakan ini membuktikan bahawa anda ada sifat dedikasi dan berwibawa untuk menjadi ketua keluarga.

4) Rajin-rajinkan diri mengunjungi masjid atau surau untuk mendidik diri mengenal agama dengan lebih mendalam.

5) Perlu rajin mengukuhkan kewangan kerana urusan nafkah terletak pada diri seorang lelaki. Pelajari cara menjana kewangan dengan lebih baik. Pada zaman sekarang ini, duit sangat penting.

Komen anda