Hidup berumahtangga ialah satu hal yang sangat memerlukan setiap individu memainkan peranannya dengan baik. Suami kena faham tanggungjawab, begitu juga dengan isteri.

Sikap menjadi faktor utama kepada kelangsungan kebahagiaan rumahtangga. Jika sikap kelas A, maka kasih sayang pasangan juga turut terbaik.

Nah, kami berikan lima sikap suami yang betul-betul buat isteri semakin sayang kepada suami.

1) TIDAK KEDEKUT

“Awak, raya nanti kita tukar langsir baru ya?”

Wow, sangat gembira kalau dengar suami kata macam tu! Isteri tidak digalakkan meminta-minta jika tidak mampu. Namun jika suami mampu, janganlah kedekut dengan isteri. Isteri mana yang tidak suka jika suami menawarkan hendak menukar perabot atau peralatan rumah.

2) SUKA MEMUJI

Isteri akan rasa seronok yang amat kalau suami suka puji terutama bab memasak. Yalah, penat memasak rasa berbaloi apabila suami menjamah sedikit lantas puji “Wah, sedapnya.” Jika dipuji sedemikian, pasti rasa seronok hendak masak esok, lusa dan seterusnya.

Suami janganlah kedekut nak memuji isteri. Ini isteri sudah penat memasak, bila ditanya sedap ke tidak, jawapannya mesti mengecewakan. Daripada rasa seronok memasak, terus malas nak masak esok, lusa dan seterusnya.

Walaupun isteri memasak tidak sesedap chef di hotel lima bintang sekalipun, apa salahnya puji? Dia masak khusus untuk awak juga, kan? Kalau tak puji masakannya pun, pujilah atas penat lelah dia memasak. Bangun awal pagi sebelum Subuh nak memasak sahur, namun satu pujian pun tak ada.

3) KERAP HANTAR MESEJ DI TELEFON

Suami yang rajin menghantar mesej di telefon bimbit bolehlah dikatakan sweet sangat. Ini menandakan isteri sentiasa ada di ingatan mereka. Walau berjauhan sebentar disebabkan masing-masing ada rutin berbeza, isteri tetap di ingatan. Bertuah sungguh dapat suami seperti ini.

Apabila membaca mesej suami, terasa seronok sangat. Walaupun sekadar mesej biasa misalnya bertanya khabar, makan apa, tengah buat apa tu. Apatah lagi kalau dapat mesej suami kata rindu. Pada bulan Ramadan ini, mesejlah isteri tanya juadah apa yang dia ingin makan sebagai hidangan sampingan. Seronok tau kalau nampak suami bawa balik plastik berisi kuih untuk berbuka. Ini baru betul-betul sayang.

4) JADI PENDENGAR YANG BAIK

Apabila malam menjelma, badan pun letih disebabkan rutin harian. Suami janganlah buat hal sendiri. Dari balik kerja sampai ke tengah malam asyik menghadap telefon. Selepas solat tarawih, duduklah sebentar dan tanya bagaimana kehidupannya hari ini.

Isteri pastinya gembira jika suami sudi mendengar ceritanya tanpa jemu. Walaupun mungkin cerita yang sama mengenai rakan-rakan di pejabat, namun kesanggupan suami mendengar perkongsian cerita ini sangatlah dihargai. Ini dinamakan bahawa suami bukan sahaja sebagai pasangan hidup tetapi turut sahabat baik.

5) GENTLEMAN DI TEMPAT AWAM

Wanita mana yang tak suka dilayan seperti puteri? Cuba sesekali jadi lelaki gentleman di tempat awam untuk isteri. Misalnya bantu isteri duduk di restoran, bukakan pintu kereta untuknya, bukakan pintu kedai atau pintu untuk isteri lalu di kompleks beli-belah, biarkan isteri masuk dan keluar dahulu dari lif serta pimpin tangan isteri ketika berjalan.

Jika anda layan isteri anda bagaikan puteri, jangan hairanlah jika anda dilayan seperti raja.

Komen anda