Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk memilih. Bukan hanya tangkap muat sahaja dengan siapa kita hendak berkahwin. Sebab itulah kita perlu kenal seseorang itu melalui perkenalan sendiri ataupun daripada perkenalan orang lain. Maka orang yang kenal dengan si dia itu boleh memberi pendapat bahawa si dia itu baik dan sesuai untuk dijadikan pasangan.

Orang yang berkahwin dengan kita akan mempengaruhi kehidupan kita. Siapa yang di sisi kita sebagai suami atau isteri memberikan kesan kepada rutin dan segala-galanya dalam hidup. Jadi, hendakkah kita perjudikan nasib kepada orang yang mungkin hanya mahu mengambil kesempatan terhadap kita?

Berikut adalah beberapa sebab kenapa anda perlu buat pilihan yang betul:

1. PENGARUHI BAB AGAMA

Pasangan anda boleh memberi pengaruh besar dalam bab agama. Jika lelaki itu rajin solat, dia bakal mendidik isterinya juga untuk rajin menunaikan solat. Begitu juga dengan hal lain misalnya puasa, menutup aurat dan mengaji al-Quran. Semuanya berbalik kepada suami. Suamilah yang mencorak isterinya.

Jika lelaki itu kurang didikan agama dan malas untuk mempelajari bab agama, tidak mustahil anda berdua akan hanyut dengan kehidupan rumahtangga yang tidak menuju ke syurga. Jadi, pilihlah calon jodoh yang baik sisi agamanya.

2. KESAN BESAR DALAM EMOSI

Anda perlu memilih calon jodoh yang sesuai kerana pasangan hidup boleh memberi kesan besar kepada emosi anda. Contohnya, jika pasangan anda seorang yang sangat pemalas dalam bab kerja, siapa yang sakit hati nanti? Sebulan dua mungkin anda masih tahan. Tapi kalau selamanya? Sanggup ke anda hidup dengan orang yang asyik bertukar kerja dan lama-lama dibuang kerja kerana pemalas.

3. PENGARUHI CORAK PEMIKIRAN

Pasangan ialah orang yang boleh mempengaruhi corak pemikiran anda. Sebab itulah anda kena pilih calon jodoh yang berfikiran lebih kurang sama dengan anda. Jika dia seorang yang berfikiran ‘agak negatif’, tidak mustahil anda akan susah untuk maju. Contohnya anda seorang yang tetap mahu melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi misalnya Sarjana atau Doktor Falsafah. Namun si dia jenis yang tidak ambil peduli soal pendidikan. Mungkin impian anda itu tidak akan dapat sokongan lantas terbengkalai begitu sahaja.

4. KESAN TERHADAP HUBUNGAN SOSIAL

Anda perlu pilih calon jodoh yang sesuai dengan anda supaya hubungan sosial anda tidak terjejas. Sebagai contoh hubungan sosial dengan kawan-kawan anda. Jika si dia tidak suka dengan kawan-kawan anda tanpa sebarang alasan sejak sebelum berkahwin lagi, memang dia tidak akan suka sampai bila-bila.

Lainlah kalau kawan-kawan anda itu berperangai buruk. Memang patutlah anda tinggalkan kawan yang sebegitu. Namun jika kawan anda jenis yang baik dan selalu mendorong anda ke arah kebaikan, mengapa pula anda harus mengikut kata si dia. Adakah dia jenis cemburu dan tidak suka anda bersosial dengan kawan-kawan anda?

Janganlah korbankan hubungan dengan kawan yang sudah lama susah payah dengan anda demi memilih jodoh yang sukar untuk anda mengertikan sikapnya. Namun jika anda ingin slow talk dengan si dia mengenai kawan-kawan anda pun dialu-alukan. Bak kata orang menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.

5. PENGARUHI MENTAL

Perkahwinan boleh mempengaruhi mental seseorang. Pasangan yang suka mendera mental pasangannya adalah satu keadaan yang sangat teruk. Justeru pilihlah si dia yang tidak menjejaskan mental anda.

Penderaan mental boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Misalnya dia mempertikaikan bentuk badan anda. Hal ini boleh menjejaskan mental anda. Pilihlah calon jodoh yang ikhlas menerima anda seadanya. Janganlah hanya suka kala badan bak kerengga namun mengeji apabila badan tidak sebegitu lagi.

 

Komen anda