Pada hari ini, memang ramai individu yang masih hidup membujang pada usia yang boleh dikatakan sebagai sudah patut kahwin. Bukan mereka tidak mahu berkahwin namun hal ke arah itu masih tidak berlaku.

Ada yang berkata selesa hidup sendiri kerana ada pekerjaan dan ada aset yang mereka kumpulkan sejak mula bekerja. Sama ada memang benar-benar selesa hidup sendiri ataupun hanya sekadar manis di mulut untuk menyedapkan hati sendiri, wallahualam.

Bagi wanita, sudah pasti ada rasa malu untuk memulakan perkenalan yang menjurus ke arah perkahwinan. Bimbang dikatakan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Bimbang juga dikata pergi mencari timba. Lantas segalanya dipendamkan. Cuma berani berkawan-kawan biasa. Jika ada perkenalan yang membawa ke arah perkahwinan, alhamdulillah. Kalau tak ada pun, terserah.

Jika mahu minta keluarga carikan jodoh, bimbang pula hati tidak berkenan. Walaupun lewat bertemu jodoh, namun diri sendiri tetap ada taste. Tidak mahu main tangkap muat, orang kata, asal ada suami.

Bagi lelaki pula, barangkali keadaan kewangan mengekang mereka daripada meminang anak dara orang. Kerja tidak seberapa. Tidak berani hendak buka mulut untuk berkahwin. Kos membuat majlis boleh tahan juga pada hari ini.

Lantas, daripada malu orang tahu tak ada duit, maka lebih baik membujang.

Bertuahlah bagi lelaki yang bertemu dengan ibu bapa wanita yang boleh berlebih kurang. Buat majlis seringkas boleh kerana mahu memudahkan proses perkahwinan. Perkara paling penting ialah akad nikah. Majlis menguar-uarkan pernikahan anak buatlah ringkas sahaja.

Justeru, apakah faktor yang menjadikan jodoh itu berat bagi seseorang?

Di sinilah kita berbalik kepada soal jodoh yang masih dalam lingkungan rahsia ALLAH. Orang yang sudah berkahwin pun tidak pasti sampai bilakah pasangan mereka kekal sebagai jodohnya.

Antara faktor belum bertemu jodoh ialah:

1) MALAS USAHA

Jodoh perlu diusahakan. Misalnya mencari jodoh melalui internet dengan berwaspada, mempersiapkan diri dengan penampilan sedap mata memandang supaya jodoh mudah mendekat, berjumpa ahli agama untuk berubat membersihkan ‘dalaman’ diri, rajin pergi reunion dengan harapan untuk berjumpa bakal jodoh. Anda tidak boleh hanya duduk di rumah dan berharap ada jodoh yang datang tanpa anda usaha ke arahnya. Ya, memang jodoh itu rezeki namun anda perlu berusaha.

2) TIDAK BERDOA UNTUK JODOH
Doa itu senjata orang Islam. Berdoalah kepada ALLAH. Mintalah pada DIA. Kalau solat pun anda malas, apatah lagi berdoa. Lengkapkanlah diri dengan agama dan dekatkan diri dengan ALLAH.

3) TERLALU CEREWET MEMILIH

Apabila anda cerewet dalam soal pemilihan jodoh, tidak mustahil jodoh jadi berat. Liat jodoh hendak datang kepada anda. Hendak yang begitu, hendak yang begini. Tidak mahu yang begini, tidak mahu yang begitu.

4) KRITERIA TERLALU TINGGI

Anda menetapkan kriteria yang terlalu tinggi misalnya mahu si dia yang tampan, kerjaya hebat dan hendaklah sudah mempunyai rumah serta kereta. Jika terlalu tinggi, maka semakin ketatlah syarat untuk anda bertemu jodoh.

5) MALAS ADA KOMITMEN

Perkahwinan ialah hubungan yang perlukan komitmen. Bukan semua orang sanggup hidup dengan komitmen yang tinggi. Hidup berdua, kemudian jika ada rezeki dapat anak pula. Tanggungjawabnya sangat berat. Jika tidak jalankan tanggungjawab, maka hukumannya ialah berdosa.

Komen anda