Wahai sang pengantin, tahniah kerana bakal menjadi suami isteri. Selangkah lagi anda akan melayari rumahtangga. Seronok? Sudah pasti terasa bahang keseronokan itu, kan.

Pun begitu ada 5 perkara penting untuk anda ambil berat pada hari langsung. Jangan sampai terlupa. Ini sangat penting tau.

1) Kad Pengenalan Diri
Jangan lupa bawa kad pengenalan anda dan pasangan. Kad ini perlu diserahkan kepada jurunikah yang mengetuai majlis akad nikah anda nanti. Tanpa kad pengenalan, urusan akan jadi susah kerana dokumen itu sememangnya diperlukan. Walaupun ada yang fotokopi, kad pengenalan sebenar perlu ada. Jadi, elakkan daripada kehilangan kad pengenalan. Jika hilang, misalnya diragut, sila buat laporan polis dan dapatkan salinan laporan itu untuk ditunjukkan kepada jurunikah.

2) Mas Kahwin
Mas kahwin perlu ditunjukkan kepada jurunikah sebelum akad nikah dimulakan. Mas kahwin ialah pemberian wajib kepada pengantin perempuan dan termasuk dalam rukun nikah. Mak kahwin minimum telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam negeri tertentu. Jika anda mahu beri mas kahwin lebih daripada yang ditetapkan dan jumlahnya beribu-ribu, sila buatkan cek untuk memudahkan urusan. Tak perlu bawa wang tunai kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

3) Kehadiran
Pastikan kehadiran individu yang penting dalam urusan akad nikah. Misalnya kehadiran pasangan pengantin, jurunikah, saksi dan wali. Telefon untuk mengingatkan mereka ini sehari sebelum majlis berlangsung. Ingatkan hal penting terutamanya mengenai waktu perlu berada di lokasi pernikahan.

4) Tepati Masa
Sila tepati masa yang telah diberikan oleh jurunikah. Ini kerana jurunikah bukan hanya mengetuai majlis akad nikah anda sahaja. Dia perlu ke lokasi lain untuk urusan akad nikah orang lain pula. Jadi, sila hadir ke lokasi anda bernikah pada masa yang telah ditetapkan supaya urusan lebih mudah.

5) Jangan Gugup
Pengantin lelaki dinasihatkan supaya banyak bertenang. Jangan kelam-kabut pada hari pernikahan. Minum air masak secukupnya. Bertenang dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang dihafal. Jika tidak bertenang, akan akan mudah gugup apatah lagi ketika akad nikah nanti.

Komen anda