Wah, dah nak kahwin ya? Alhamdulillah. Anda bakal mempunyai ibu dan bapa mentua. Orang kata sebelum menjejakkan kaki ke dalam keluarga baru, anda kena bijak tackle hati mentua terutama ibu mentua. Macam-macam kita dengar mengenai hubungan menantu perempuan dengan ibu mentua masing-masing.

Apabila anda berkahwin, anda bukan sahaja berhubungan dengan pasangan. Namun anda turut berhubungan dengan mentua. Walau banyak cerita kurang enak apabila membabitkan mentua, sebaiknya anda tetap mencipta silaturahim yang utuh dengan mentua.

Jangan mudah terpedaya dengan gambaran bahawa ibu mentua itu garang, selalu cemburu dengan menantu dan tidak senang dengan kehadiran menantu. Anda seharusnya bijak melihat keindahan kehidupan bersama mentua. Sayangi mentua sebagaimana anda sayang dengan keluarga sendiri.

Sejak awal perkahwinan nanti anda sebagai menantu perlu beramah mesra dengan mentua. Ambil hati mereka. Jangan hanya tahu ambil anaknya tetapi dengan mentua, anda buat tak tahu sahaja. Ingat ya, mereka sebenarnya ibarat ibu bapa sebenar kepada anda walaupun istilahnya mentua.

Cara Ambil Hati Mentua:

1) KERAP TANYA KHABAR – Selalulah bertanya khabar mereka. Boleh sahaja telefon mereka untuk tanya khabar. Kalau tak pun, WhatsApp. Orang tua sekarang pun pandai guna gajet. Dengan selalu bertanya khabar, mereka akan mudah ingat pada anda. Barulah hati mereka lebih dengan anda.

2) BERI HADIAH – Bukan membodek tetapi menghargai. Berikanlah hadiah kepada mentua anda misalnya kain batik, kain untuk dibuat jubah, beg tangan atau makanan sunah. Mereka pasti suka apabila menantu membelikan mereka hadiah apabila anda berkunjung ke kediamannya.

3) BERTANYA RESIPI – Orang tua banyak ilmunya terutama ilmu masakan. Tanyakan kepada mereka resipi memasak hidangan kegemarannya pasangan anda. Boleh juga tanya resipi masakan yang ibu mentua anda selalu masak. Walaupun sebenarnya anda pandai memasak hidangan tersebut, namun cubalah saja bertanya demi mengambil hatinya. Minta juga petua untuk menyedapkan masakan daripadanya, sudah pasti dia teruja untuk memberitahu petuanya kepada anda.

4) PUJIAN – Sesekali cuba puji kehebatan mentua anda yang dapat anda lihat. Misalnya kebijaksanaan mentua anda menyusun atur perabot di rumah. Atau pujilah pokok-pokok bunga mentua anda yang lebat dan rimbun di laman. Hal ini akan membuatkan mentua anda gembira.

5) RINGAN TULANG – Hal ini selalu menjadi isu antara mentua dengan menantu. Anda janganlah berlagak seolah-olah tetamu kehormat apabila balik ke rumah mentua. Ringankan tulang. Rajin menolong di dapur. Barulah mentua sayang. Kalau tak pandai masak pun, cuba bantu apa yang patut. Jangan asyik memerap dalam bilik saja ya.

Semoga dengan lima tip mudah ini, hubungan anda dengan bakal mentua akan menjadi lebih serasi. Pandai-pandailah bawa diri dengan keluarga baru nanti ya.

Komen anda