Perkataan ‘MAAF‘ selalu dijadikan sebagai ungkapan untuk menyelesaikan banyak perkara. Situasi ini kerap bermula dengan kesalahan sekali gus mencetuskan konflik. Dalam banyak hal, memang perkataan maaf boleh menjernihkan suasana.

Namun ada juga yang ego lantas beranggapan, senangnya kau. Sudah berbuat salah, kemudian minta maaf. Kau fikir semudah itu aku akan memaafkan kau?

Sebenarnya ada dua keadaan di sini. Si pembuat kesalahan dan si penerima kesan daripada kesalahan. Orang yang berbuat kesalahan usahlah mengulangi kesalahannya. Si penerima kesan pula cubalah untuk lebih relax dan jangan cepat melenting.

Dalam hubungan dua individu pula, jika anda berbuat kesalahan, anda kena cepat-cepat minta maaf dan mengakui kesalahan. Jangan ego dan jangan kedekut untuk minta maaf. Perkataan maaf boleh membantu menyelesaikan konflik.

Jom kita lihat 4 sebab anda perlu minta maaf:

1) DEMI MENGALAH UNTUK ORANG TERSAYANG

Minta maaf bukanlah satu pengakuan yang anda bersalah. Tidak sama sekali. Minta maaf sebenarnya lebih kepada sikap anda untuk mengalah. Apalah salahnya mengalah demi si dia yang tersayang, kan? Jika benar anda sayang kepada si dia, mengalahlah. Mintalah maaf.

Ini juga menunjukkan yang anda tidak pentingkan diri sendiri. Apabila ada konflik, anda diam seribu bahasa. Dengan harapan keadaan itu akan kembali pulih seperti sedia kala. Itukah namanya sayang? Sikap sedemikian akan membuatkan si dia lebih tertekan. Tidak mustahil hubungan anda jadi lebih teruk.

2) DEMI MENJERNIHKAN HATI

Minta maaf boleh menjernihkan hati. Dengan sayarat jangan minta maaf hanya di bibir. Mulut minta maaf tetapi dalam hati sedikit pun anda tidak pernah memaksudkannya. Hal ini tidak membawa sebarang kebaikan kerana kemaafan yang anda mohon itu bersulam dengan dendam.

3) DEMI MEREDAKAN KEADAAN

Keadaan tegang ekoran daripada konflik boleh mulai mereda dengan adanya perkataan maaf. Sebab itulah anda disaran minta maaf daripada si dia. Luahkan kata-kata maaf dengan pandangan mata yang mampu berbicara. Lihat kesannya.

4) DEMI MENGAWAL EGO

Ego selalunya meminta anda bersikap ‘akulah yang betul’. Sikap ini memberikan kesan buruk kepada perhubungan. Tidak mustahil konflik anda menjadi lebih teruk. Minta maaf boleh meredakan ego. Hal ini bagus untuk memanjangkan perhubungan.

Komen anda