Rumahtangga dibina daripada penyatuan dua jiwa yang sangat dalam maksudnya. Jika tidak rela, sesebuah ikatan perkahwinan itu pastinya sukar untuk dibina. Justeru jagalah ia supaya ikatan tetap utuh walau pelbagai pancaroba cuba untuk meruntuhkan masjid yang dibina.

JANGAN WUJUD PENYESALAN

Jangan pernah wujud penyesalan terhadap perkahwinan. Jangan mempertikaikan kenapa anda berkahwin dengannya. Hal ini membuatkan hubungan anda bertambah teruk kerana anda terdorong untuk melihat keburukan si dia. Kita tidak tahu masa depan kita bagaimana rupanya. Hanya yang boleh kita usahakan ialah menjaga hubungan dan berdoa supaya ianya kekal harmoni sepanjang masa.

Lihatlah masa depan. Bukannya melihat ke belakang lantas menyesal, meratap dan menyalahkan diri sendiri. Itu bukan cara yang betul. Tindakan tersebut tidak akan menghasilkan perubahan positif, bahkan akan membawa ketidakharmonian yang bermula dari masalah sekecil-kecilnya menjadi serabut dan kusut. Jika rasa penyesalan berlanjutan, kemungkinan ketidakharmonian berakhir kepada perceraian.

Oleh kerana itu, hadapilah kenyataan. Inilah masalah kita. Jangan lari daripada masalah dengan menyalahkan kisah silam. Hal ini akan membuka pintu syaitan sehingga mampu untuk meracuni fikiran kita.

JANGAN TERLALU EMOSIONAL

Kadangkala konflik boleh menyebabkan berlakunya hal-hal lain kerana terlalu disulami dengan emosi. Apa lagi setelah melibatkan pihak ketiga yang mengetahui masalah dalaman rumah tangga secara tidak menyeluruh.

Jadi, cuba kenal pasti punca sebenar masalah. Lebih baik jika masalah ini dapat diselesaikan dengan kerjasama kedua-dua belah pihak.

Sebagai contoh,  situasi pendapatan isteri lebih tinggi berbanding suami. Isteri jangan dipengaruhi emosional sehingga mengheret kepada masalah lain. Jika bersikap lebih objektif, masalah kurang sumber pendapatan keluarga mampu diatasi dengan kerjasama semua pihak dalam rumahtangga. Lihat kelebihan pasangan, jangan fokus kepada kekurangannya.

IKHLAS TERHADAP PASANGAN

Bagi mengekalkan rasa sayang terhadap pasangan, lihatlah kelebihan pasangan kita. Jangan mengungkit-ungkit kekurangan yang dimiliki. Apabila dilihat secara fizikal, mungkin pasangan mempunyai banyak kekurangan. Namun, di sinilah uniknya sebuah perkahwinan.

Paling tidak, niat ikhlas pasangan dalam mendampingi kita kerana Allah SWT sudah merupakan kelebihan yang tiada tolok bandingnya. Luar biasa nilainya di sisi Allah SWT. Dari situlah kita boleh menilai. Segala kekurangan pasangan kita itu dilengkapi dengan kelebihan yang kita miliki. Bukan sebaliknya menjatuhkan atau melemahkan semangat dalam mencari titik persamaan.

FAHAMI SYARIAT PERKAHWINAN

Salah satu matlamat asas yang paling utama seseorang itu berumah tangga adalah kerana adanya ketaatan pada syariat Allah SWT. Pada hakikatnya, jika diukur dengan fizikal semata-mata ia seakan-akan membebankan. Oleh yang demikian, setiap pasangan perlu menilai setiap ganjaran yang Allah SWT janjikan iaitu dengan matlamat perkahwinan yang jelas.

Jika menemui jalan buntu, kembalikanlah hal tersebut kepada Allah SW. Suburkan perasaan berbaik sangka kepada-Nya. Renunglah setiap hikmah di sebalik masalah. Insya-Allah, ada kebaikan dari semua masalah yang kita hadapi.

Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan lebih konsisten dan komited. Jangan mudah putus asa. Mungkin dengan taqarrub (mendekatkan diri) pada Allah SWT, masalah yang berat mampu terurai dan menjadi ringan. Dan dengan izin-Nya, jalan keluar akan terlihat di depan mata.

Komen anda