Memang isteri wajib taat kepada suami. Pun begitu ada beberapa keadaan yang membolehkan isteri tidak taat kepada suaminya. Jom kita lihat apakah keadaan-keadaan tersebut.

1.MEMBUAT SESUATU YANG HUKUMNYA SYIRIK
Kalau suami memerintahkan isteri membuat sesuatu yang hukumnya syirik, maka isteri boleh tidak taat kepada suaminya. Syirik di sini bermaksud jika suami menyuruh isteri bertemu dengan dukun, bomoh atau pawang yang terang-terangan menjalankan amalan perubatan yang bertentangan dengan agama. Selain itu suami menyuruh isteri mempercayai amalan karut misalnya mengalungkan tangkal pada anak untuk halau kuasa hitam dan percaya pada zodiak untuk tilik nasib. Syirik ialah dosa besar kerana menduakan ALLAH.

2.MELAKUKAN AMALAM BIDAAH
Salah satu contoh amalan bidaah yang masih diamalkan oleh masyarakat kita ialah melenggang perut. Amalan ini dilakukan oleh wanita hamil pada usia kandungan 7 bulan. Amalan ini tidak pernah dibuat pada zaman Rasulullah. Jika seseorang itu melakukan suatu amalan yang dianggap ibadah padahal rasulullah tidak pernah melakukannya,  amalan ini adalah amalan yang akan mendatangkan dosa jika dikerjakan. Justeru, kalau suami menyuruh isteri melakukan amalan seumpama ini, maka isteri harus menolaknya dengan lembut dan menasihati suaminya secara baik.

3.SURUH ISTERI BUKA AURAT
Seorang wanita Muslim wajib menutup aurat. Tutup aurat di sini bermaksud mengenakan tudung mengikut syariat, berpakaian longgar dan tidak jarang. Jika suami menyuruh isteri tidak bertudung dengan alasan tidak mahu isteri kelihatan kekampungan atau tidak up to date, maka isteri boleh tidak taat kepada perintah suami.

4.MINTA HUBUNGAN INTIM KETIKA HAID
Hubungan intim ialah tanggungjawab seorang suami dan isteri. Pun begitu jika suami mahu melakukan pada ketika haid, isteri boleh menolak kerana melakukan hubungan intim ketika waktu itu adalah berdosa. Isteri boleh menolak dan tidak taat kepada perintah itu.

Komen anda