Wanita perlu faham sifat lelaki supaya boleh terima dengan hati terbuka mengenai karakter mereka. Apabila anda faham sifat golongan kaum Adam ini, maka anda tidaklah sakit hati jika ada perangai mereka yang memang buat anda panas.

Wanita dan lelaki mempunyai ciri-ciri dan perangai berbeza. Atas dasar itulah kita disaran supaya memahami karakter jantina berlawanan supaya dapat menilai seseorang itu dengan sebaiknya.

Jom kita fahami tiga sifat lelaki.

1) KURANG BERCAKAP
Lelaki memang kurang bercakap. Jadi, usahlah anda sakit hati jika ada soalan anda yang dia malas hendak menjawabnya. Malah ada juga lelaki tidak mahu berkongsi masalah yang dia hadapi dengan anda. Baginya, lebih baik dia cuba selesaikan sendiri.

Kekurangan lelaki dalam bercakap ada kala mencetuskan sakit hati dan geram dalam hati wanita. Bak kata orang, sepuluh anda tanya, sepatah dia jawab. Semakin anda mahu mendengar cerita daripadanya, dia sukar untuk bercerita.

Jadi, lebih baik anda fahami sifat lelaki yang sememangnya kurang bercakap. Jangan sesekali membandingkan cara dia berkomunikasi dengan anda dan kawan-kawannya. Ada lelaki yang bercakap macam bertih goreng tatkala bersama kawan-kawan. Namun jadi pendiam kala bersama isteri.

2) KURANG MENGKRITIK
Lelaki bukanlah pengkritik yang baik. Jika anda bertanya, “OK tak tudung saya ni?” Dia hanya akan mengangguk atau sekadar mengatakan “OK”. Sedangkan banyak yang boleh diperbaiki pada tudung itu.

Begitu juga dalam soal masakan. Jika anda bertanya soalan kepadanya, mungkin jawapannya, “Kalau emak masak, selalunya macam ni.” Kalau begitu jawapannya, lebih baik anda tidak perlu bertanya soalan kepadanya. Biar dia yang kritik jika memang dia mahu memberi komen terhadap masakan anda.

3) KURANG ROMANTIK
Memang ada lelaki yang dalam hatinya ada taman namun tidak ramai. Sebaliknya ramai lelaki yang kurang romantik. Usahlah tertipu dengan aksi dalam drama yang menunjukkan lelaki hadir bersama bunga untuk insan tersayang. Berapa ramai yang pernah mendapat jambangan bunga daripada pasangannya? (baik mengaku)

Lelaki juga sukar mengucapkan kata cinta kepada pasangannya. Jika anda ternanti-nanti ucapan itu (terutamanya selepas bertahun-tahun berkahwin), mungkin anda perlu menanti ucapan itu bagai menunggu buah yang tak gugur, atau menunggu kucing bertanduk.

Mungkin ada lelaki yang romantik sebelum berkahwin. Memberi hadiah, membetulkan kerusi tempat duduk, membukakan pintu kereta, memakaikan helmet jika bermotosikal atau mencedokkan lauk untuk anda. Namun selepas berkahwin, berubah segalanya.

Justeru, terimalah hakikat mengenai sifat-sifat lelaki. Jika anda dapat terima hakikat, maka hati anda tidak akan sakit. Bagaimana? Boleh terima hakikat tak?

Komen anda