Komunikasi berkesan ialah salah satu perkara paling penting dalam rumahtangga. Jangan menidakkan hal komunikasi walau dalam apa situasi sekalipun. Apatah lagi jika dalam situasi tegang iaitu kemarahan sedang membara di hati.

Kita digalakkan supaya mandi ataupun berwuduk ketika sedang marah. Namun selepas itu perlu berkomunikasi dengan pasangan untu meleraikan apa yang terbuku di hati.

Dalam mengharungi kehidupan berumahtangga, pasti akan wujud keadaan perselisihan faham antara pasangan suami isteri. Hal ini jika tidak dibendung, boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin tegang dan menjadi rumahtangga porak peranda.

Justeru, pasangan suami isteri hendaklah bijak mengawal situasi perselisihan faham supaya keadaan tidak menjadi lebih parah.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah komunikasi dua hala.

Jangan abaikan komunikasi dua hala kerana hal ini sangat membantu untuk menjadikan hubungan semakin pulih. Jangan hanya berdiam jika pasangan anda sedang marah. Jika dia bertanya, jawablah dengan betul. Jangan menipu. Jangan buat tak tahu. Anda kena hadap soalan-soalannya. Diam membisu hanya akan mengeruhkan keadaan perselisihan faham dan menjadikan keadaan bertambah tegang.  Jadi, tolong jangan berat mulut.

Cara kawal marah terhadap pasangan:

1) JANGAN LARI DARIPADA MASALAH
Orang yang suka lari daripada masalah ialah mereka yang kurang bertanggungjawab. Masalah perlu diselesaikan. Berdiam diri ialah jalan terburuk dalam corak penyelesaian masalah kerana tanpa perbincangan, apa-apa pun tidak dapat diselesaikan.

Perbincangan adalah satu perkara yang boleh membawa banyak kebaikan dalam hubungan suami isteri. Apabila kita berbincang, kita akan berpeluang meluahkan isi hati dan rasa tidak puas hati terhadap pasangan.

Paling utama adalah jaga emosi kala berbincang.

Jangan terlalu ikut perasaan marah kerana hal ini boleh membuat sesi perbincangan bertukar menjadi sesi pergaduhan. Jadi, jaga emosi anda kala berbincang. Dalam sesi perbincangan ini, luahkan isi hati anda dan kemudian cari jalan penyelesaian.

2) STABILKAN EMOSI

Perselisihan faham sebenarnya boleh membuatkan seseorang itu murung akibat menjeruk rasa. Anda perlu bijak mengawal emosi. Jangan berdiam diri kerana hal ini tidak elok diamalkan. Kawal emosi anda sebaik-baiknya.

Emosi boleh distabilkan dengan cara beristighfar. Duduk sebentar, berwuduk dan istighfarlah. Jangan terus bersemuka dengan pasangan kerana keadaan ini boleh bertambah buruk. Selepas emosi telah stabil barulah berdepan dengan pasangan dan berkomunikasi bagi membincangkan masalah anda.

Ada kala kita berselisih faham ekoran daripada hal-hal kecil sahaja. Justeru tidak perlulah kita terlalu memikirkan hal itu sehingga tidak bercakap langsung dengan pasangan. Tetaplah berkomunikasi dengan pasangan supaya ruamhtangga anda tidak dingin.

Mengawal emosi bukan sekadar kala anda berdua dengan pasangan. Anda perlu bijak mengawal emosi marah anda terhadap pasangan tatkala anda di hadapan anak-anak. Jangan sampai anak anda boleh mengesan bahawa anda dan pasangan sedang berselisih faham.

3) CAKAP YANG BAIK-BAIK
Tatkala berkomunikasi dengan pasangan, kawal tutur kata anda. Gunakan perkataan yang baik-baik sahaja. Nada suara juga kena jaga. Jangan menengking. Jangan ikut rasa hati yang marah sehingga mengeluarkan kata-kata kurang enak didengar.

Memang kita sedang marah dan meradang, namun janganlah sehingga hilang rasa hormat.

Semasa berkomunikasi, fikir perkataan terbaik untuk diutarakan. Luahkan isi hati anda tanpa ada nada-nada sindiran. Jadilah seorang yang profesional.

Berkomunikasilah dengan baik. Sememangnya kala marah kita akan mudah terdorong untuk mengungkit dan mengingat perangai pasangan yang buruk-buruk sahaja.

Kala marah, cubalah kenang perangainya yang baik-baik dan perkara yang menyentuh hati yang pernah dia lakukan untuk anda. Hal ini akan membuatkan anda lebih terbuka untuk berkomunikasi secara lebih baik. Ingatlah bahawa perkahwinan memang bukan mudah untuk kekal bahagia namun anda boleh lakukan banyak perkara untuk mengekalkan kebahagiaan tersebut.

 

 

Komen anda